Tuesday 14 February 2012

Apa itu Internet 
Internet adalah gabungan  rangkaian-rangkaian komputer di seluruh dunia. Ia merupakan rangkaian terbesar didunia dan saiznya masih lagi berkembang. Bagaimanapun komputer-komputer yang dimaksudkan tadi cuma merupakan  sebahagian sahaja dari takrifan konsep Internet, kerana apabila kita memperkatakan tentang Internet kita maksudkan juga kandungannya yang meliputi maklumat, masyarakatnya dan juga perisian yang digunakan. 
Bagaimana Internet Bermula 
Internet bermula pada tahun 1969 dari keperluan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang pada masa itu masih lagi terasa tidak selamat kerana perang dingin dengan blok Soviet. Mereka mahukan satu rangkaian komputer strategik tentera dimana komputer-komputer utama yang digunakan untuk tujuan penyelidikan dapat berhubung diantara satu sama lain walaupun sebahagian dari komputer ini mungkin dibom oleh musuh. Rangkaian terawal yang dinamakan ARPAnet ini menghubungkan empat lokasi iaitu Stanford University, UCLA, UC Santa Barbara dan University of Utah dimana keempat lokasi ini ditadbirkan secara nyah pusat ('decentralised'), iaitu tanpa ada penempatan utama yang mengawal penempatan lain. Rangkaian ini kemudian berkembang dengan banyak lagi universiti lain turut berhubung. Ini menjadi lebih rancak pada tahun 1987 apabila Yayasan Sains Kebangsaan Amerika membina rangkaiannya NFSnet yang juga menggunakan protokol yang sama dan dihubungkan dengan ARPAnet. NFSnet merupakan tulang belakang Internet sehingga diakhir-akhir ini barulah ia diambil alih oleh gabungan syarikat perdagangan. 
Siapa yang mengawal Internet 
Tiada siapa atau badan tertinggi yang bertugas menjaga operasi harian Internet. Setiap rangkaian yang berhubung dengan Internet hendaklah ditadbirkan sendiri oleh pentadbir rangkaian tempatan mengikut etika dan nilai masing-masing. Peraturan-peraturan atau penunjuk dibuat secara konsenses dimana mereka yang mempunyai buah fikiran menghantar idenya kepada badan yang mengumpul 'request for comment ' yang kemudian mendapat maklum balas dari individu atau kumpulan lain sehingga menjadi piawai. Walaupun ketiadaan penguasa pusat  beberapa pertubuhan yang dinamakan  Kumpulan Teknikal Internet yang cuba mengadakan struktur asas Internet tanpa mengenakan banyak kawalan. Antara badan-badan terlibat ialah IETF ('Internet Engineering Task Force') menyelaras operasi, pengurusan dan evolusi Internet. IRTF ('Internet Research Task Force') mengkaji masalah jangka panjang dan isu teknikal yang mungkin akan dihadapi dalam jangka masa 5 hingga 10 tahun. Badan utama dalam mengawasi IETF dn IRTF ialah IAB (Internet Architecture Board) yang antara lain mengkaji piawai Internet, mengurus penerbitan dokumen 'Request for Comment (RFC)' dan juga bertindak sebagai wakil masyarakat Internet di peringkat teknikal antarabangsa. Sebuah lagi badan sukarela yang memayongi badan-badan ini ialah 'Internet Society'. 
Bagaimana Internet Beroperasi 
Komputer-komputer dalam Internet ini berhubung antara satu sama lain menggunakan satu bahasa piawai atau protokol yang dinamakan TCP/IP (singkatan dari 'Transmission Control  Protocol/Internetworking Protocol'). Ia merupa satu persetujuan cara pesanan atau maklumat dihantar dan diterima supaya semua dapat memahaminya dengan pengertian yang sama.Setiap komputer dalam Internet mempunyai alamat masing-masing yang unik yang dinamakan alamat IP. Rangkaian JARING di Malaysia mempunyai alamat bermula dengan 161,142.*.*  dalam bentuk w.x.y.z dimana setiapnya nombor tertinggi adalah 255. Alamat pelayan mel kita ialah 161.142.76.3 yang mana hanya satu sahaja komputer dari berjuta yang mempunyai alamat demikian. Walaupun komputer berkomunikasi menggunakan alamat ini, ia adalah agak sukar untuk diingati oleh manusia. Lagi pun alamat ini bergantung kepada rangkaian fizikal komputer dan berkemungkinan akan berubah. Contohnya dulu pelayan mel kita pada alamat 161.142.76.1. Satu lagi jenis alamat yang lebih popular adalah alamat nama domain. Nama Domain Berkelayakan Penuh  (atau 'Fully qualified domain name FQDN') untuk pelayan mel di USMKCK adalah kb.usm.my, juga merupakan nama unik seantaro dunia. Nama domain my adalah dikhaskan untuk Malaysia dan dikendalikan oleh MIMOS, sementara USM dikhaskan untuk USM oleh MIMOS. Komputer-komputer dalam rangkain dihubungkan menggunakan 'router', 'bridge', 'hub', 'modem' dan beberapa lagi perkakasan rangkaian. Router pada  masa ini merupakan perkakasan terpenting yang mengetahui alamat-alamat IP rangkaian dan menghantar mesej-mesej ke rangkaian yang betul walaupun terpaksa melalui berpuluh router lain. 
Apakah maklumat yang ada dalam Internet 
Apa sahaja maklumat dikehendaki selalunya ada di Internet, cuma kita terpaksa mencarinya. Jika kita tidak dapat mencarinya, kita juga boleh bertanya pada kumpulan yang mempunyai minat yang sama. Bagaimana pun banyak juga maklumat yang mempunyai nilai komersial yang memerlukan bayaran atau terbuka kepada ahli sahaja. Buku-buku atau journal popular  tidak diletakkan secara digital dalam Internet. Ramai juga warga dunia terutama para akademik  yang berpegang kepada konsep  maklumat itu perlu ditatapi bersama. Mereka meletakkan makalah-makalah mereka dalam Internet untuk tatapan semua.  Bagi mereka yang merasa  banyak mendapat manafaat dari maklumat atau perisian percuma dari Internet selalunya akan cuba memaparkan maklumat  kepunyaan mereka  untuk dikongsi bersama. Bagaimanapun kita perlulah berhati-hati dalam menerima maklumat ini dan perlu juga menapis atau memilihnya kerana  kualitinya tidak terjamin dan kadangkala sengaja dipesongkan. 
Bagaimana ingin berhubung dengan Internet 
Untung berhubung dengan Internet anda memerlukan talian yang dihubungkan kepada node terdekat rangkaian yang sudah berhubung dengan Internet. Orang perseorangan memerlukan alat dinamakan modem yang dihubungkan pada komputer dan talian telefon serta berlanggan dengan penyedia perkhidmatan seperti JARING atau TMnet. Bagi mereka di pejabat selalunya berhubung melalui rangkaian setempat dan seterusnya dihubungkan melalui  talian data sewa ke node terdekat penyedia perkhidmatan. Komputer yang ingin dihubungkan kerangkaian setempat memerlukan kad rangkaian yang sesuai dan kabel yang disambung kepada hub. 
Apakah aplikasi-aplikasi yang boleh digunakan dalam Internet 
  • Untuk berhubung antara individu dengan individu atau kumpulan - mel elektronik
Untuk menggunakan perkhidmatan ini anda memerlukan akaun e-mail  dari penyedia perkhidmatan anda. Akaun ini  berasaskan pada pengenalani pengguna di pelayan berkenaan. Jika seorang yang mempunyai pengenalan awang di pelayan bernama kck.usm.my maka alamat e-mail pengguna berkenaan ialah awang@kck,usm.my. Alamat ini adalah unik dalam seluruh dunia. Mel ini dihantar dari satu pelayan kepelayan destinasi melalui host perantaraan seperti juga pengiriman surat biasa. Cara paling popular membaca mel adalah dengan menggunakan perisian pembaca mel yang akan berhubung dengan pelayan mel dan menarik mel-mel pengguna berkenaan ke pc yang digunakan sebelum dibaca. 
  • Untuk berhubung antara kumpulan berita atau diskusi (USENET)


Didalam Internet anda pasti boleh mendapatkan sekurang-kurangnya satu kumpulan yang anda dapat berkongsi maklumat atau minat.Terdapat ribuan kumpulan berita dimana pelanggannya berhubung. Disini anda boleh mengeluarkan pendapat anda berkaitan apa saja. Sebahagian dari kecil dari kumpulan ini beritanya ditapis oleh pentadbirnya. Setiap kumpulan selalunya mempunyai FAQ ('Frequently Asked Question') yang ditadbir oleh ahli kumpulan supaya menjadi bimbingan kepada ahli baru semoga tidak bertanya soalan yang sudah sering disoal dan sudah pun berjawab. Maklumat atau soalan ini dikongsi bersama dengan cara setiap pelayan mempunyai pelayan sumber yang menghantarkan maklumat kepadanya dan ia pula akan menghantar maklumat itu kebeberapa pelayan lain berlanggan dengannaya. Anda membaca berita menggunakan pembaca berita. Mesej ini disusun dimana anda dapat melihat aturannya iaitu mesej mana menjawab mesej yang mana iaitu 'threaded'. Anda boleh memilih untuk menghantar mesej kepada kumpulan berita atau  secara peribadi kepada penulis mesej. Perkhidmatan ini sama seperti kita menulis kepada satu ruangan "letters to editor" yang tidak bertapis dan semua yang berminat dalam kolum itu boleh membacanya. Cara menghantar mesej adalah serupa dengan menghantar e-mel dan boleh menggunakan perisian yang sama. Kebanyakan tempat mempunyai kumpulan diskusi tempatan yang mana mesej dari kumpulan itu tidak dihantar keluar. USMKCK juga mempunyai pelayan kumpulan berita pada alamat news.kck.usmnet atau 10.5.10.10. Anda boleh menggunakan perisian Netscape dan mencatitkan alamat ini semasa membuat konfigurasi pelayan berita. 
  • Berhubung dengan kumpulan menggunakan e-mail melalui listserv.
Selalunya terdapat juga kumpulan yang berhubung dengan e-mail dimana anda berlanggan dengan kumpulan listserv ini. Semua pelanggan menulis kepada pentadbir listserv dan sesiapa ingin mendapat mesej-mesej yang dihantar kepada pentadbir boleh menulis kepada pentadbir listserv (mailing list service) untuk berlanggan. Kebanyakan kumpulan berita USENET boleh juga di langgan secara listserv. Anda hanya menggunakan perisian e-mail untuk berhubung melalui listserv. Pastikan anda sentiasa membaca e-mail anda setiap hari kerana anda kan mendapat puluhan atau ratusan jika berlanggan dengan 'mailing list' popular dalam sehari. Jika anda bercuti dan tidak dapat membaca mel dicadangkan berhenti sementara berlanggan dan menyambungnya apabila pulang dari bercuti. Jika anda seorang yang sibuk dan masa luang tidak menentu dicadangkan anda membaca sahaja kumpulan berita dimana anda boleh membaca bila-bila anda suka. 
  • Menggunakan komputer ditempat lain- telnet
Jika anda mempunyai akaun pada komputer ditempat lain (remote), anda boleh menggunakan komputer menggunakan kemudahan telnet. Untuk menggunakan komputer ini anda akan diminta memperkanalkan diri dan memasukkan katalaluan. Terdapat juga komputer yang membenarkan pelawat atau orang yang tidak dikenali menggunakan komputer mereka secara terhad. Anda boleh mengguna kemudahan telnet untuk membaca mel anda dengan telnet ke pelayan mel anda dan memasukkan arah mail atau pine atau apa saja arahan yang membuka mel bagi hos itu.
  • Mendapatkan fail dari komputer remot- ftp
Didalam Internet terdapat ratusan ribu fail yang mengandungi maklumat atau perisian yang anda boleh dapatkan secara percuma baik untuk kegunaan tanpa had atau terhad. Untuk menggunakan kemudahan ini anda perlu perisian ftp ('file transfer program'). Anda perlu memberitahu nama komputer hos yang menyimpan fail dan juga direktorinya. Anda juga perlu memberikan pengenalan diri dan juga katalaluan untuk menggunakan kemudahan ini. Bagaimanapun kebanyakan hos menerima pengenalan 'anonymous' dan alamat e-mail sebagai password. Anda disebut sebagai 'download'  fail tesebut dari hos berkenaan. Anda juga jika dibenarkan membuat 'upload' fail anda untuk diletakkan di hos berkenaan untuk dikongsi dengan pengguna lain.
  • Berbual di Internet - IRC
Anda boleh mengadakan perbincangan dalam talian dengan secara menaip apa yang hendak disampaikan dengan kumpulan anda secara 'real-time' dengan menggunakan perisian chat atau Internet Relay Chat. Anda akan dapat melihat mesej-mesej yang ditaipkan oleh mereka yang mengambil bahagian dalam sesuatu bilik maya di ruang chat berkenaan. Perkhidmatan ini mempunya satu pelayan chat dan peserta berkomunikasi mengguna perisian chat atau browser.
  • Mendapatkan maklumat secara memetik tetikus- World Wide Web
Internet menjadi popular bila perkhidmatan baru yang dinamakan 'World Wide Web' diperkenalkan. Jaringan maklumat WWW ini terdiri dari tapak-tapak web yang memaparkan maklumat untuk tuntunan pelungsur web.Di setiap tapak web terdapat sekurangnya satu pelayan web yang tugasnya menyampaikan fail-fail yang diminta oleh pengguna yang mengunakan perisian 'browser'. Kebanyakan browser kini boleh digunakan untuk menghantar mel, nmendapat fail dengan kemudahan ftp dan juga membaca berita dengan arahan news atau nntp. Kini kebanyakan pengguna Internet mengguna browser keluaran Netscape iaitu Netscape Navigator dan browser keluaran Microsoft iaitu Internet Explorer untuk mencari maklumat atau apa saja perkhidmatan di Internet.  Perkhidmatan gopher iaitu mendapatkan maklumat secara tanpa grafik, netfind dan whois untuk mencari individu atau organisasi, serta lain-lain seperti veronica, archie dan juga WAIS sudah menjadi kurang popular. 
Etika dan budaya dalam menggunakan Internet
Masyarakat Internet yang walaupun warganya berada dimerata pelusuk dunia  dan berhubung secara tidak bersemuka mempunyai peradabannya yang tersendiri. Antara lain:
  • pastikan mesej anda berguna dan boleh difahami
  • bila menghantar mesej berikan tajuk untuk menjimat masa mereka yang tidak berkaitan
  • ringkaskan mesej tetapi dengan ayat yang lengkap. 
  • menaip dalam semua huruf besar dikira memekik dan biadab
  • semak apa yang anda tulis
  • cuba bertenang sebelum berkomunikasi supaya tidak menyesal dikemudian hari
  • gunakan pemindahan fail diluar waktu sibuk
  • gunakan smiley bila perlu sahaja contoh: :-) senyum, :-( masam
  • kerana kesuntukan masa terdapat singkatan seperti BTW - by the way, CUL- see you later, IMHO- in my humble opinion, FYI- for your information, OTOH- on the other hand
Keselamatan dan 'privacy' di Internet
Seperti masyarakat lain di dunia sudah tentu ada mereka yang tidak berdisiplin dan samseng yang mana kita perlu berhati-hati. Menghantar e-mail adalah umpama menghantar poskad yang boleh dibaca oleh sesiapa saya yang berupaya. Jika anda ingin menghantar maklumat sulit pastikan anda 'encrypt'kannya. Pastikan hanya anda sahaja tahu katalaluan anda bagi mengelak dari orang lain menggunakan pengenalan anda. 

No comments:

Post a Comment